Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesemua jemaah umrah Malaysia yang dilaporkan terkandas di Jeddah sejak 25 Julai lalu akan pulang ke tanah air menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) malam ini.

Perkara itu dimaklumkan ahli kumpulan jemaah Firdaus Firabib, Mohd Firdaus Shukri.

Menurutnya, seramai 39 jemaah akan berlepas malam ini dari Lapangan Terbang di Jeddah pukul 9 malam (waktu Arab Saudi) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) esok pukul 11.15 pagi (waktu tempatan).

“Ini adalah usaha daripada dia (Firdaus Firabib) sendiri, dia yang bantu, dia Pengerusi dan Imam di Masjid Al Busra, Merbok, Kedah,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Mohd Firdaus berkata, hanya 39 jemaah sahaja yang akan menaiki penerbangan pulang itu kerana baki tiga lagi jemaah yang turut terkandas telah pulang lebih awal hari ini.

Tambahnya, Ustaz Firdaus turut dijangka berada di KLIA esok bagi menyambut kepulangan Jemaah-jemaah terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN:

Individu berhati mulia tawar diri bantu bawa balik 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah

Semalam, Firdaus menerusi laman sosial TikTok memaklumkan beliau sedia untuk menguruskan penerbangan kesemua jemaah terbabit pulang ke tanah air, hari ini.

Beliau yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan agensi menguruskan jemaah umrah tersebut telah menghulurkan bantuan atas dasar kemanusiaan.

Terdahulu, MalaysiaGazette semalam melaporkan, seramai 42 jemaah umrah Malaysia yang terdiri daripada warga emas dan penjawat awam dilaporkan terkandas di Jeddah sejak 25 Julai selepas mendakwa menjadi mangsa pemalsuan dokumen tiket penerbangan pulang oleh sebuah agensi pelancongan tempatan.

Mereka yang sepatutnya berlepas pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan ibadah umrah dan ziarah ke Taif itu terkejut apabila dimaklumkan tiket penerbangan mereka tidak wujud walaupun bayaran penuh pakej telah dibuat kepada syarikat pengendali umrah, Persada Global Holidays (PGH).

Lebih mengharukan, terdapat jemaah yang turut membeli pakej tren laju (Haramain High-Speed Railway) dari Madinah ke Mekah.

Bagaimanpun, pada 20 Julai lalu, semasa perjalanan ke Mekah, tiket tren tersebut tidak disediakan seperti yang dijanjikan, menyebabkan semua jemaah terpaksa menaiki bas.

ARTIKEL BERKAITAN:

42 jemaah umrah terkandas di Jeddah, dakwa ditipu ejen pelancongan

Nasib mereka turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang menegaskan, kerajaan sedang berusaha membawa pulang kesemua jemaah umrah berkenaan ke tanah air dengan selamat.

Jelasnya, kerajaan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi sedang memberikan perhatian penuh dan mengatur langkah segera bagi memastikan kebajikan serta keselamatan semua jemaah berkenaan terjamin.

Tambah beliau, kerajaan memandang serius kes sedemikian dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menipu atau memperdaya jemaah umrah, lebih-lebih lagi melibatkan warga emas dan penjawat awam. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan sedang usaha bawa pulang jemaah umrah terkandas – Mohd Na’im

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast