Datuk Dzulkhairi Mukhtar

MELAKA – Polis Melaka menahan 23 individu daripada dua kumpulan motosikal kapcai selepas dipercayai terlibat dalam kejadian rusuhan di hadapan Bangunan Stadthuys, di sini,, petang semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang selepas pihaknya menerima laporan insiden pergaduhan yang dikatakan berpunca daripada satu kumpulan motosikal apabila dikenakan kompaun oleh penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Menurutnya, kejadian bermula apabila kumpulan pertama terdiri daripada sembilan lelaki dan sembilan wanita warga tempatan dari Kuala Lumpur dan Melaka memasuki kawasan zon bebas kenderaan menaiki motosikal dan meletakkannya di hadapan Bangunan Stadthuys.

“Penguatkuasa MBMB kemudian meminta mereka beredar namun tidak diendahkan menyebabkan mereka dikenakan kompaun dan tindakan itu mencetuskan kemarahan kumpulan motosikal kapcai terbabit.

“Kumpulan itu kemudian mengoyakkan notis kompaun selain memaki hamun penguatkuasa menyebabkan satu lagi kumpulan motosikal dari negeri ini tidak berpuas hati dengan tindakan kumpulan pertama,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Lokasi kejadian rusuhan.

Susulan itu, katanya berlaku pergaduhan antara dua kumpulan berkenaan kesemuanya berumur antara 20-an hingga 30-an menyebabkan seorang mangsa daripada kumpulan kedua cedera akibat dipukul dengan topi keledar dan ibu kunci (padlock) oleh peserta kumpulan pertama sehingga dikejarkan ke hospital.

“Akibatnya, polis menahan kesemua 23 individu namun dibebaskan dengan jaminan polis kecuali seorang lelaki berusia 30-an direman selama tiga hari kerana dipercayai memukul mangsa menggunakan senjata.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast