Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku pengerusi ASEAN mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai di Putrajaya. 28 JULAI 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

PUTRAJAYA – Mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja bermula pada Isnin di Putrajaya dengan matlamat mencapai gencatan senjata serta menghentikan permusuhan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Mesyuarat itu diusahakan oleh Malaysia menerusi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN, dalam usaha meredakan ketegangan yang semakin memuncak dan memulihkan kestabilan di kawasan sempadan yang terjejas akibat konflik.

Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai tiba di Seri Perdana pada 2.51 petang, diikuti Perdana Menteri Kemboja Hun Manet tidak lama kemudian.

Ketibaan kedua-dua pemimpin disambut oleh Anwar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku pengerusi ASEAN mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai di Putrajaya. 28 JULAI 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

Turut hadir pada sesi mesyuarat itu ialah Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan yang bertindak sebagai pemudah cara dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing sebagai pemerhati.

Pada Jumaat lalu, Anwar menghubungi Phumtham dan Manet secara berasingan, menggesa agar kedua-dua pemimpin segera melaksanakan gencatan senjata dan kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan pertikaian.

Anwar sebelum ini menegaskan bahawa Malaysia sedia membantu dan memudah cara proses ini selaras dengan semangat perpaduan ASEAN dan tanggungjawab bersama.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, ketika bermesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku pengerusi ASEAN dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai di Putrajaya. 28 JULAI 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

Kedua-dua negara jiran itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik di sepanjang 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja meningkat sejak 28 Mei lalu susulan insiden pertempuran tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan yang dipertikaikan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Pertikaian sempadan terus memuncak pada Khamis (24 Julai), dengan pertempuran bersenjata tercetus di sepanjang sempadan utara Kemboja. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast