KUALA LUMPUR – Kerajaan melangkah ke hadapan dalam memperkukuh sistem perundangan berkaitan kebankrapan antarabangsa apabila Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bacaan kali kedua dan ketiga RUU tersebut akan dijalankan pada sesi Parlimen kali ini.
RUU itu memperkenalkan peruntukan baharu termasuk akses pemiutang dan wakil asing ke mahkamah Malaysia mekanisme pengiktirafan prosiding insolvensi asing, pemberian relif berkaitan pengiktirafan tersebut serta penyelarasan prosiding serentak merentasi pelbagai bidang kuasa.
“Cadangan ini berteraskan prinsip Undang-Undang Model mengenai Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL),” katanya.
Azalina berkata, pelaksanaan undang-undang yang sama dijangka meningkatkan keberkesanan sistem insolvensi negara dan membantu syarikat komersial Malaysia menuntut semula aset mereka di luar negara walaupun ia mungkin melibatkan perbelanjaan kewangan tambahan yang jumlahnya masih belum ditentukan.
Dengan pelaksanaannya, Malaysia akan menjadi negara keempat di ASEAN selepas Singapura, Myanmar dan Filipina yang mengguna pakai model undang-undang yang digubal oleh UNCITRAL pada 1997 menyertai lebih 60 negara lain termasuk Australia, United Kingdom, Arab Saudi dan New Zealand. -MalaysiaGazette
















