Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham bercakap pada program Dialog MG, Payung Besar Orang Melayu ketika di Ibu Pejabat MalaysiaGazette di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 03 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengecam keras tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menahan aktivis Chegubard di bawah Akta Hasutan, Komunikasi dan beberapa akta lain.

Ketuanya, Muhammad Hilman Idham berkata, akta-akta itu merupakan sebahagian daripada Akta Drakonian yang sebelum ini dijanjikan Pakatan Harapan (PH) untuk dimansuhkan selaras dengan agenda reformasi.

“Laungan Refor-Mati yang bergema di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu dengan ratusan ribu rakyat menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan adalah tepat.

“Ini kerana kegagalan beliau dalam melaksanakan agenda reformasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Hilman turut menggesa Anwar meletak jawatan serta merta kerana dilihat berselindung di belakang Akta Drakonian.

Ribuan peserta perhimpunan mula berarak ke Dataran Merdeka ketika hadir pada Perhimpunan ‘Turun Anwar’ Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 26 JULAI 2025.

Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan polis di kediamannya pada pukul 2.30 petang hari ini susulan Himpunan Turun Anwar yang diadakan pada Sabtu lalu.

Perkara itu disahkan oleh peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang berkata, pihaknya menerima pengesahan terdapat laporan polis terhadap CheguBard berkaitan himpunan yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Muhammad Rafique turut kesal apabila Chegubard dijadual berjumpa dengan pegawai penyiasat pada esok jam 11 pagi di Bukit Aman, namun ditahan lebih awal. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast