SHAH ALAM – Seorang ibu berasa kecewa dan sedih apabila anaknya berusia 12 tahun kini mengalami masalah kemurungan selepas didakwa menjadi mangsa buli sejak Mei lalu.
Fatimah Lailati Omar, 52, berkata, hanya disebabkan insiden salah faham di sekolah, gambar anak bongsunya itu disebarkan oleh pasangan suami isteri sehingga menjadi tular di media sosial.
Katanya, penyebaran gambar dan maklumat tidak tepat dan bersifat fitnah itu berleluasa di media sosial sejak insiden pergaduhan melibatkan anaknya dan seorang murid perempuan yang juga anak kepada pasangan suami isteri itu di sebuah sekolah rendah di Kuala Terengganu.
“Sebelum ini, anak saya seorang yang ceria dan peramah namun selepas gambar dan maklumat insiden itu disebarkan, anak saya kini enggan keluar rumah lagi.
“Malah anak saya juga dicaci dan dipulau di sekolah hinggakan kami dihina termasuk diugut dengan komen di media sosial yang mahu anak saya digilis oleh pemandu lori.
“Sedangkan anak saya juga mengalami kecederaan di tangan akibat pergaduhan bersama rakan sekelas itu. Bagi saya, isu ini hanya salah faham budak-budak di sekolah dan sepatutnya boleh diselesaikan secara baik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir hadir peguamnya, Hisyam Yusof.
Pada 16 Jun lalu, media melaporkan seorang murid perempuan tahun enam sebuah sekolah rendah di Terengganu mendakwa menjadi mangsa buli rakan lelaki sedarjahnya sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital akibat pendarahan pada Mei lalu.
Mangsa mengalami kecederaan itu akibat ditendang pada bahagian perut dalam kejadian pada 21 Mei lalu.
Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) berkata, tindakan telah diambil mengikut Prosedur Standard operasi (SOP) Buli dan Salah Laku kementerian yang turut melibatkan pegawai perhubungan sekolah dari Polis Diraja Malaysia.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada salah faham antara murid lelaki dan mangsa sehingga menyebabkan pergaduhan. JPNT komited memastikan isu berbangkit dapat diselesaikan secara baik dan harmoni demi kesejahteraan murid, ibu bapa serta semua pihak terlibat,” katanya.
Mengulas lanjut, Fatimah Lailati berkata, selain menghantar surat tuntutan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari sejak Ahad lalu, dia turut membuat laporan polis ke atas pasangan suami isteri itu.
Ujarnya yang juga seorang usahawan, laporan sama juga dibuat dibuat ke atas empat pempengaruh yang turut menyiarkan maklumat tidak tepat tentang insiden pergaduhan anaknya itu.
“Saya ingin menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan mereka (pasangan suami isteri) itu yang tidak menggunakan saluran rasmi untuk menyelesaikan isu ini.
“Sebaliknya, tindakan mereka menularkan perkara ini di media sosial tanpa terlebih dahulu mendapatkan penjelasan atau maklumat yang tepat telah mencetuskan kekeliruan, persepsi
negatif dan menjejaskan reputasi pihak terlibat.
“Isu yang melibatkan kanak-kanak sepatutnya ditangani secara berhemah dan melalui prosedur yang sah bagi menjamin keadilan serta melindungi semua pihak khususnya kanak-kanak yang masih di bawah umur.
“Perbuatan menyebarkan perkara melibatkan pelajar bawah umur di media sosial adalah satu kesalahan undang-undang, dan suatu tindakan yang cuai dan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Fatimah Laiti menambah, anaknya menjadi mangsa buli siber gara-gara tindakan mereka mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab serta menyembunyikan fakta yang tepat, lengkap dan benar.
Jelasnya, kenyataan yang berat sebelah dan tidak disahkan kebenarannya itu telah menimbulkan persepsi negatif dan mencetuskan kecaman terbuka di media sosial sekaligus menjejaskan maruah dan emosi mereka keluarga.
“Perbuatan ini bukan sahaja tidak adil malah memberi kesan psikologi yang mendalam khususnya kepada anak saya yang masih di bawah umur.
“Akibat tindakan ini, identiti anak saya telah didedahkan secara langsung dan tidak langsung.
“Nama dan gambar anak saya serta nama sekolah turut tersebar secara meluas dan ini menyebabkan keselamatan dan privasi anak saya termasuk anak mereka terdedah kepada risiko luar,” katanya.
Fatimah Lailati turut menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas yang dibuat mereka bahawa dia menggunakan pengaruh, kuasa atau kabel besar dalam menguruskan isu berkenaan. – MalaysiaGazette
















