Gambar tular.

JOHOR BAHRU- Perbuatan menyebat patung menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka Sabtu lalu melampaui batas adab dan nilai Islam.

Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan itu amat keterlaluan yang menggambarkan kemerosotan moral dalam budaya politik negara dan tidak wajar berlaku dalam masyarakat yang bertamadun.

“Dalam Islam, membina patung manusia adalah perkara yang ditegah. Apatah lagi jika patung tersebut dijadikan objek penghinaan disebat, dipukul dan dicaci secara terbuka.

“Ini adalah bentuk penghinaan simbolik yang bersifat kejam dan bertujuan menanam kebencian dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Seri Gading itu turut menegaskan Kerajaan Madani pimpinan Anwar telah memberi ruang demokrasi seluas-luasnya termasuk membenarkan perhimpunan aman.

Bagaimanapun, kebebasan itu dakwanya disalahgunakan pembangkang untuk menghasut dan mempermalukan pemimpin negara secara tidak bertamadun.

“Apakah dosa Perdana Menteri Ke-10 sehingga dihina sebegitu rupa? Apakah beliau terlibat dalam tragedi berdarah seperti peristiwa Memali?

“Apakah beliau mencuri dana negara seperti kehilangan RM2.5 bilion di BMF Hong Kong pada era lampau? Jelas sekali, perbandingan ini jauh tersasar dan tidak berasas,” katanya.

Beliau mengakui teguran kepada pemimpin adalah hak rakyat, namun perlu disampaikan dengan adab, berteraskan fakta serta niat yang jujur dan bukan melalui simbol kebencian yang boleh menyemai permusuhan serta mendorong pelanggaran undang-undang.

“Tindakan menyebat patung Perdana Menteri ini adalah cerminan budaya politik kebencian melampau dan amat bertentangan dengan nilai politik Madani yang mengangkat adab, kasih sayang dan keharmonian dalam hubungan sesama manusia.

“Kami berdiri teguh bersama Perdana Menteri dan menolak sekeras-kerasnya budaya politik tidak bermoral yang hanya meracuni pemikiran rakyat. Malaysia wajar menuju ke hadapan dengan politik nilai, bukan politik nista,” tegasnya.

Kelmarin polis menahan dua individu untuk siasatan kes membawa dan menyebat patung mirip Perdana Menteri semasa himpunan berkenaan.

Difahamkan, dua individu itu termasuk aktivis, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penahanan dua lelaki berusia 21 dan 47 tahun itu dibuat kelmarin.

Menurutnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Jenayah Kecil 1955.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast