Kanak-kanak yang dilaporkan hilang sebelum ini di Iskandar Puteri, Johor ditemui ditanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini.

ISKANDAR PUTERI – Bapa kepada budak lelaki yang hilang di sini dan mayatnya ditemui ditanam di kawasan Rompin, Jempol, Negeri Sembilan semalam direman seminggu bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, suspek yang berusia 36 tahun ditahan reman mulai Jumaat lalu hingga 31 Julai ini.

“Tangkapan ke atas bapa kepada kanak-kanak hilang dibuat pada Khamis lalu dan sedang ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Suspek sebelum itu membuat laporan polis berhubung kehilangan kanak-kanak itu di kawasan Taman Bukit Indah di sini pada pukul 2.15 pagi, Khamis lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu portal ini menyiarkan kehilangan kanak-kanak tersebut pasa Khamis lalu dan meminta orang ramai yang menemukannya supaya berhubung dengan pihak polis.

Katanya, semasa membuat laporan itu suspek mendakwa kanak-kanak tersebut hilang semasa ditinggalkan seorang diri dalam kereta yang diparkir di kawasan Bukit Indah untuk membeli makanan.

Namun, katanya, hasil siasatan lanjut ke atas suspek telah membawa kepada penemuan kanak-kanak berkenaan di kawasan Rompin.

Siasatan mendapati mangsa merupakan anak tunggal manakala ujian air kencing mendapatinya negatif dadah selain tidak mempunyai rekod lampau.

Kumarasan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian terhadap kanak-kanak.

Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jelasnya.

Pihaknya juga meneruskan siasatan terhadap suspek di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu berhubung kehilangan anaknya.

“Siasatan lanjut kes itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, IPD Jempol menerima maklumat mengenai penemuan mayat di kawasan Rompin pada kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian awal berlaku di Johor Bahru yang mana seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah pada 24 Julai lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast