Edwin bersama pensyarah dan pelajar Sains Sukan selepas sesi dialog interaktif.

KOTA KINABALU – Pelajar Sains Sukan dari Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima suntikan inspirasi istimewa
apabila berpeluang bertemu dengan jurulatih pasukan Ragbi Wanita New Zealand (Black Ferns Sevens), Edwin Cocker yang berkunjung ke kampus bagi sesi perkongsian ilmu dan pengalaman.

Edwin yang berpengalaman luas sebagai pemain turut cemerlang mempunyai rekod cemerlang sebagai jurulatih apabila mengemudi pasukan ragbi wanita New Zealand
meraih pingat emas di Olimpik Paris 2024.

Kehadiran beliau disambut oleh Dekan FPPS, Prof. Madya Dr Soon A/L Bikar Singh yang kemudiannya memperkenalkan kepakaran pensyarah Sains Sukan serta kemudahan akademik fakulti kepada delegasi yang bersama Edwin.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada Program Pemindahan Ilmu, diterajui oleh pensyarah kursus Fisiologi Sukan, Zuliana Bacho, yang turut menjadi penyelaras utama program tersebut.

Menurut Zuliana, pelaksanaan program sedemikian mampu memberikan impak besar kepada pelajar serta warga fakulti.

“Kehadiran jurulatih kelas dunia seperti Edwin bukan sekadar memberi inspirasi, tetapi mengukuhkan kefahaman pelajar tentang bagaimana ilmu yang mereka pelajari diterjemahkan dalam arena sebenar sukan berprestasi tinggi.

“Menerusi program ini, Edwin telah mengadakan sesi dialog interaktif bersama pensyarah dan pelajar UMS yang menyentuh pelbagai topik termasuk strategi latihan, pemulihan, serta pengurusan prestasi atlet berasaskan pendekatan antarabangsa.

“Beliau bukan sahaja memberikan maklum balas profesional, malah turut menyampaikan mesej motivasi yang menekankan pentingnya aplikasi sains sukan dalam membentuk atlet bertaraf dunia,” katanya.

Zuliana menambah, penyertaan wakil Sabah Rugby Union (SRU), Terence Baduk dalam sesi lawatan itu turut menjadi simbol hubungan strategik antara institusi pengajian tinggi dan badan sukan negeri dalam usaha membangunkan sukan ragbi secara bersepadu.

“Ini sekali gus ini mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara UMS dan SRU dalam usaha memperkasa pembangunan sukan ragbi melalui pendidikan, penyelidikan dan
jalinan antarabangsa,” ujar beliau.

Selain sesi dialog, turut diadakan sesi pembentangan dan demonstrasi oleh pelajar Tahun Akhir Kursus Fisiologi Sukan Gunaan, yang mempersembahkan pelbagai jenis ujian kecergasan dan latihan spesifik untuk sukan ragbi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast