Tangkap layar video yang tular memaparkan belaku kekecohan dalam sukan Perkep di Dewan Terbuka Pulapol Segamat, Segamat, Mei lalu

SEGAMAT – Kejadian melibatkan kekecohan sekumpulan wanita mengenakan jersi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) seperti yang tular sudah pun selesai.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian itu bukan baharu sebaliknya berlaku pada 24 Mei lalu.

“Pihak polis mengesan dan mengambil maklum mengenai video dimuat naik dalam media sosial dengan tajuk Hari Sukan Perkep Bertukar Kecoh.

“Hasil siasatan mendapati kejadian itu ketika Kejohanan Bola Jaring sempena Karnival Sukan Bangsa Johor 2025 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah di Dewan Terbuka Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, insiden tercetus selepas berlaku provokasi akibat rasa tidak puas hati berhubung pelanggaran syarat perlawanan yang ditetapkan penganjur.

“Bagaimanapun, kejadian berjaya dileraikan dan kedua-dua pihak memilih untuk menyelesaikannya secara baik tanpa sebarang insiden tidak diingini,” jelasnya.

Tambah beliau, pihak terlibat turut dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat untuk dirakam keterangan.

“Pada 29 Mei, polis menerima laporan daripada kedua-dua pihak berkenaan insiden tersebut dan mereka kekal dengan keputusan untuk tidak memanjangkan isu berkenaan kerana telah menyelesaikannya dengan baik,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terus menyebarkan atau mengeluarkan kenyataan tidak tepat mengenai kejadian berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast