Mendiiang Ivana Esther Robert Smit

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Kerajaan Malaysia dan tiga lagi membayar ganti rugi berjumlah RM1.1 juta kepada ibu model Belanda, Ivana Esther Robert Smit berhubung kematian anaknya di sebuah kondominium, lapan tahun lalu.

Hakim Roz Mawar Rozain membenarkan saman ibunya Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen selepas berpuas hati keempat-empat defendan melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan mencari punca kematian model itu.

Mahkamah berpendapat, wujud pelanggaran tanggungjawab statutori oleh pihak berkuasa termasuk kegagalan dalam pengurusan tempat kejadian jenayah, pemeliharaan bukti dan prosedur forensik.

“Kes ini mewakili kegagalan yang ketara dalam melaksanakan tugas penyiasatan oleh pihak berkuasa dalam penguatkuasaan undang-undang.

“Mahkamah ini mengiktiraf cabaran yang wujud dalam penyiasatan yang kompleks namun bukti menunjukkan berlaku pelbagai penyimpangan yang telah mengakibatkan penafian keadilan kepada plaintif,” ujarnya ketika membacakan keputusan tersebut.

Ketika mengumumkan pecahan ganti rugi, Hakim Roz Mawar berkata, amaun RM500,000 diberikan bagi gantirugi am untuk tekanan emosi, kesedihan mental dan kehilangan ekoran kegagalan penyiasatan dan perbelanjaan kewangan yang berkaitan.

Beliau berpendapat, jumlah itu mencerminkan graviti kegagalan institusi dalam keadaan yang memerlukan standard profesional tertinggi dilaksanakan.

Mahkamah turut memerintahkan jumlah RM300,000 bagi ganti rugi teruk untuk kelakuan kasar dan zalim di pihak defendan.

Beliau berpendapat, selain itu, ganti rugi tersebut diberikan untuk sikap acuh tak acuh institusi tersebut terhadap penderitaan plaintif dan kegagalan untuk mengendalikan siasatan dengan graviti yang sesuai.

Mahkamah turut memberikan RM300,000 untuk ganti rugi teladan bagi menghukum salah laku dalam pejabat awam bertujuan menghalang pelanggaran serupa pada masa hadapan.

“Penemuan mahkamah ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kritikan terhadap pasukan polis secara amnya, sebaliknya sebagai mengenal pasti kegagalan institusi tertentu yang memerlukan pembetulan dilakukan.

“Ganti rugi yang diberikan adalah untuk melaksanakan fungsi pampasan dan pencegahan selain menekankan bahawa pihak berkuasa awam mesti melaksanakan tugas mereka dengan ketekunan dan akauntabiliti yang sewajarnya.

Tuntutan saman itu difailkan Christina yang menamakan Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri; dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, wanita itu berkata, anak perempuannya yang berusia 18 tahun ditemukan maut di tingkat enam Cap Square Residence di sini pada 7 Disember 2017, selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika Syarikat (AS) iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Mendiang didakwa berpesta dengan pasangan itu sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan bogel di balkoni tingkat enam kira-kira pukul 10 pagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast