KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyangkal dakwaan beliau tidak berbuat apa-apa berhubung insiden membabitkan pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir yang dikaitkan dengan kejadian buli.
Menurutnya, fitnah berat itu sedang berleluasa ketika ini, sekali gus menggesa semua pihak berhenti menyebarkannya tanpa usul periksa.
Malah, tegasnya, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penularan berita tidak sahih dan fitnah berhubung kes itu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan.
Menjelaskan situasi sebenar, menurut Fadhlina, beliau sendiri menziarahi keluarga Zara Qairina di hospital di Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lalu, dan memastikan semua keperluan keluarga mangsa dipenuhi.
Dalam masa sama, tambahnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga sudah diarah untuk menyalurkan bantuan segera.
“Pada 18 Julai 2025, saya keluarkan kenyataan berkenaan kejadian ini dan menyatakan komitmen Kementerian untuk bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan oleh pihak polis,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Fadhlina, saya juga meneliti laporan harian dan memantau secara dekat kes itu serta memastikan JPN Sabah memberi bantuan terbaik kepada keluarga.
Malah, ujarnya, kes itu juga adalah tumpuan utama KPM pada waktu ini.
Jelasnya, beberapa siri ziarah cakna dilakukan JPN Sabah ke atas keluarga mangsa, manakala intervensi krisis dan trauma turut dilaksanakan untuk murid, guru dan warga sekolah bagi memastikan aspek kesejahteraan terpelihara.
Memahami kegusaran keluarga dan masyarakat, ujarnya, beliau sekali lagi mengeluarkan kenyataan susulan pada 25 Julai lalu.
“Saya nyatakan pendirian tegas Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat sebarang salah laku.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan pihak polis,” katanya.
Menurut Fadhlina, beliau meletakkan seluruh keyakinan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan yang profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti bersabit kes tersebut.
Sehubungan itu, katanya, beliau memohon semua pihak untuk menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan yakin apabila kebenaran sampai ke puncak, keadilan pasti akan tertegak.
“Dalam kita mengharapkan keadilan bagi kes ini, jangan pula menganiaya orang lain. Berhentilah menyebarkan berita yang tidak sahih.
“Sedar atau tidak, berkongsi maklumat tidak sahih boleh menyebabkan murid, guru dan warga sekolah yang tidak bersalah turut terkesan,” katanya.
Ketika ini, wujud desakan daripada pelbagai pihak supaya KPM dan pihak berkuasa menyiasat segera kes Zara Qairina yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolahnya di Papar, Sabah pada 17 Julai lalu, yang dikaitkan dengan kejadian buli.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun semalam berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu dan meminta orang ramai agar bertenang serta tidak membuat sebarang spekulasi. – MalaysiaGazette
















