Lilis Saslinda menunjukkan aktiviti pemindahan gas LPG bersubsidi ke dalam lori tangki selepas serbuan di kawasan industri d Ulu Tiram, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Menjadikan kawasan perindustrian sebagai tempat untuk melakukan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) di Ulu Tiram di sini bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun aktiviti haram di stor haram tersebut terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor melakukan serbuan semalam.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornoma berkata, premis itu menjalankan aktiviti pemindahan gas LPG bersubsidi daripada tong 14 kilogram ke dalam lori tangki untuk tujuan pasaran gelap.

“Menerusi Op Gasak yang dijalankan bersama KPDN Putrajaya itu menemui sebanyak 1,357 tong gas LPG melibatkan tong berisi dan kosong, dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM280,000 termasuk peralatan digunakan dalam aktiviti berkenaan.

“Premis ini kelihatan seperti bengkel biasa di kawasan industri, namun hasil risikan mendapati ia digunakan sebagai tempat pemindahan gas subsidi secara haram untuk dijual di pasaran dengan harga lebih tinggi.

“Turut ditahan lima lelaki warga asing berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang merupakan pekerja di premis berkenaan,” katanya pada akhbar di lokasi serbuan berkenaan hari ini.

Lilis Saslinda berkata, siasatan awal mendapati sindiket tersebut menggunakan modus operandi menyimpan tong gas subsidi di premis sebelum dipindahkan ke lori tangki secara berperingkat-peringkat.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi individu manakala syarikat boleh didenda hingga RM2 juta.

“Untuk kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM3 juta (individu) dan RM5 juta (syarikat),” katanya.

Pihak KPDN tidak menolak kemungkinan kegiatan itu sudah lama beroperasi dan sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran sindiket.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada KPDN Johor bagi membantu tindakan penguatkuasaan selanjutnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast