KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan pasukan polis menyiasat semula kematian model Belanda, Ivana Esther Robert Smit yang mayatnya ditemukan dalam keadaan bogel di tingkat enam sebuah kondominium, lapan tahun lalu.
Hakim Roz Mawar Rozain turut memerintahkan polis memberi taklimat perkembangan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan bagi menentukan kesempurnaan pengumpulan bukti dan tindakan seterusnya diambil berhubung kes itu.
Mahkamah juga mengarahkan defendan kedua, Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi (ketika itu), Asisten Supritendan (ASP) Faizal Abdullah dikeluarkan daripada Pasukan Petugas Khas yang menjalankan siasatan.
“Kematian seorang wanita muda berusia 18 tahun dalam keadaan yang mencurigakan sepatutnya memerlukan siasatan yang paling teliti dan profesional. Sebaliknya, bukti mendedahkan beberapa kegagalan, ketidakcekapan dan mengabaikan prosedur,” ujar beliau.

Model berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam Cap Square Residence di sini pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika Syarikat (AS), Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Mendiang didakwa berpesta dengan pasangan itu sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan bogel di balkoni tingkat enam kira-kira pukul 10 pagi.
Dalam penghakimannya, Hakim Roz Mawar berkata, pada 8 Februari 2018, satu laporan mendedahkan kehadiran Asid Deoksiribonukleik (DNA) Alex di bawah kuku si mati.
“Walaupun bukti kritikal ini ditemukan, Alex dan Luna dibenarkan meninggalkan Malaysia pada 29 Mac 2018 hampir sebulan selepas penemuan DNA tersebut,” katanya.
Menurut beliau, defendan kedua (Faizal) memberi keterangan bahawa walaupun bukti DNA diterima dan timbul syak wasangka dalam kes itu, namun tiada langkah segera diambil untuk menahan suspek sebelum pemergian mereka.
“Urutan peristiwa ini menunjukkan kehadiran bukti DNA yang mengaitkan suspek dengan si mati, terutamanya dalam keadaan mencurigakan seperti itu yang sepatutnya mencetuskan tindakan segera dan tegas untuk menghalang suspek daripada meninggalkan negara ini,” ujar beliau.
Hakim Roz Mawar memutuskan demikian selepas membenarkan saman ibu mendiang, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen bagi mendapatkan perintah mandamus terhadap Kerajaan Malaysia dan tiga yang lain berhubung kematian anaknya.
Tiga yang lain ialah Ketua Polis Negara, Asisten Supritendan Faizal dan Menteri Dalam Negeri.
Beliau mengarahkan defendan-defendan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi pada 2019 yang mengarahkan AGC memerintahkan polis menyiasat punca kematian model berkenaan.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika itu mengenepikan keputusan inkues yang mengklasifikasikan kematiannya sebagai misadventure dan mengklasifikasikannya semula sebagai kematian yang disebabkan oleh orang atau orang yang dikenali atau tidak dikenali.
Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Roz Mawar berkata, wujud ketidakpatuhan oleh defendan terhadap perintah Mahkamah Tinggi pada 2019.
Menurut beliau, pegawai penyiasat yang sama telah dikekalkan meskipun kes itu diteruskan, defendan gagal menawarkan sebarang bukti untuk menyokong siasatan.
“Siasatan terbantut tanpa kemajuan ketara sejak 2019. Kegagalan untuk mematuhi arahan kehakiman yang jelas merupakan pelanggaran kewajipan berkanun. Ia juga boleh membawa kepada penghinaan mahkamah,” katanya.
Dalam keputusannya, Hakim Roz Mawar turut menyatakan wujud salah laku dalam jawatan awam atas kapasiti rasmi melibatkan perbuatan yang menyalahi undang-undang manakala tindakan defendan sepanjang siasatan tidak mencapai piawaian yang munasabah.
Menurut beliau, terdapat bukti forensik yang besar seperti penemuan toksikologi yang diabaikan dan ia merupakan penyimpangan ketara daripada piawaian siasatan dan kewajipan berkanun.
“Siasatan gagal menggunakan metodologi forensik lanjutan yang boleh memberikan gambaran temporal yang penting tentang trauma yang dialami oleh si mati.
“Tambahan pula, defendan tidak mengesahkan dengan secukupnya keterangan saksi-saksi penting terhadap bukti fizikal dan forensik yang ada,” katanya.
Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Roz Mawar turut memerintahkan keempat-empatnya membayar ganti rugi berjumlah RM1.1 juta kepada ibu model berkenaan selepas berpuas hati defendan-defendan melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan mencari punca kematian model itu.
Mahkamah turut memerintahkan kos RM100,000 dibayar kepada ibu mendiang. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
KEMASKINI: Kerajaan diarah bayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu mendiang model Belanda















