JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperuntukkan RM2 juta pada tahun ini bagi memperkukuh pembangunan industri durian secara khusus.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 341 pengusaha terutama pekebun kecil dan sederhana (PKS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap itu memberitahu, ini melibatkan kawasan tanaman seluas 650 hektar.

Jelas beliau, bukan sahaja durian tetapi kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap pembangunan industri buah-buahan lain.

“Antara buah-buahan utama yang diberi perhatian kelapa, nanas, pisang, nangka, jambu batu, tembikai/melon dan betik.

“Ramai pengusaha tempatan terlibat secara aktif dalam industri tanaman buah-buahan tropika ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Zahari, atas faktor potensi pasaran yang luas di peringkat tempatan mahupun eksport, kerajaan negeri komited untuk perkasakan industri berkenaan.

“Kita menyasarkan peningkatan pengeluaran buah-buahan secara berperingkat-peringkat dengan sasaran melebihi 900,000 metrik tan setahun menjelang 2027.

“Moga usaha untuk memperkasa industri buah-buahan di Johor terus membuahkan hasil yang mampan dan memberi manfaat kepada semua pengusaha yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast