Seorang anggota polis wanita maut dalam kemalangan dua kereta di Jalan Gelang Patah-Pendas, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Seorang anggota polis wanita maut dalam perjalanan ke tempat kerja di Balai Polis Taman Universiti, di sini, selepas terlibat kemalangan di Kilometer 28 Jalan Gelang Patah-Pendas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 7.15 pagi melibatkan kereta jenis Proton Saga dan Proton Waja.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Saga dipandu anggota polis itu dalam perjalanan dari arah Gelang Patah menuju Skudai untuk ke balai tersebut.

“Setibanya di lokasi kemalangan, Proton Waja dari arah bertentangan tiba-tiba membelok ke simpang kiri dan tidak berhenti semasa lampu isyarat merah sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, anggota polis wanita berkenaan, Koperal Fairuzfadila Musa yang berusia 37 tahun dan pemandu Proton Waja berusia 41 tahun, kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapat rawatan.

Jelasnya, anggota polis wanita tersebut meninggal dunia semasa mendapat rawatan di HSA kerana kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Pemandu Proton Waja itu pula katanya, mengalami kecederaan parah di kepala serta dada dan masih belum sedarkan diri di hospital tersebut.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau berbahaya.

Siasatan lanjut katanya, masih dijalankan dan orang awam yang mempunyai maklumat kemalangan itu boleh salur ke pejabat pertanyaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Iskandar Puteri 07- 5101322. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast