Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia menerima mana-mana pelajar yang dibuang daripada institusi pendidikan lain kerana terlibat dalam kes buli.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia selaras dengan tanggungjawab KPM untuk mendidik setiap generasi muda negara tanpa mengira siapa pun mereka.

“Tugas mendidik itu memang berada di bawah tanggungjawab KPM, maka, jika pelajar yang terbabit kes buli dihantar ke sekolah KPM, kita kena terima. Sebab itu tanggungjawab kita dan komitmen kita.

“Dan kita sentiasa bersedia untuk menerima sesiapa sahaja anak-anak kita untuk dididik.

“Jadi, saya rasa tidak timbul isu kita tidak memberikan peluang atau menolak mereka. Tapi, kita ambil atas dasar tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyambut kepulangan pelajar kumpulan orkestra Sekolah Seri Puteri, Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah malam tadi.

Fadhlina ditanya berkenaan ketegasan pihak pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang mengambil tindakan membuang pelajar institusi itu yang terbabit dalam kes buli tanpa sebarang kompromi.

Susulan itu, wujud pertikaian dalam kalangan orang ramai yang mana pelajar Mara yang terlibat dalam kejadian buli dan dibuang tersebut akan diserap ke dalam sistem pendidikan di bawah KPM, sekali gus boleh menjejaskan persekitaran pendidikan di KPM.

Sementara itu, ditanya bagaimana KPM dapat memastikan anasir dan budaya buli yang mungkin dibawa pelajar dibuang tersebut dapat dikekang, Fadhlina menjelaskan, pihaknya sentiasa memberi tumpuan terhadap aspek kaunseling dalam kes-kes sedemikian.

Dalam masa sama, katanya, KPM turut melihat aspek lain untuk membina semula karekter dan disiplin pelajar-pelajar yang terlibat dalam kes buli dari sudut pendidikan.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pelajar di bawah Mara khususnya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) diambil tindakan buang sekolah selepas didapati terlibat dalam kes buli.

Antaranya melibatkan pelajar di MRSM Terengganu; Pulau Pinang dan Melaka.

Malah, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini juga berulang kali menegaskan, tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap pelaku buli di mana-mana institusi pendidikan di bawah seliaan agensi itu. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast