SAC Mohamed Usuf Jan Mohamad

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga China antara 13 yang ditahan disyaki terlibat mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian di sebuah premis perniagaan di Jalan Kia Peng, tengah hari semalam.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kesemua yang ditahan dalam serbuan Op Dadu oleh  pasukan dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, dengan kerjasama Bahagian Forensik Bukit Aman.

Selain dua lelaki itu, polis turut menahan lapan lelaki dan tiga wanita tempatan.

Manakala warga asing yang turut ditahan dikesan mengemukakan dokumen perjalanan yang sudah tamat tempoh.

Menurut beliau, sindiket yang dikesan beroperasi sejak April lalu menyasarkan pasaran Indonesia.

Mereka menjadikan premis perniagaan tersebut sebagai lokasi pusat panggilan dengan beroperasi dari jam 11 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Mohamed Usuf menambah, premis ini didaftarkan atas nama sebuah syarikat swasta tempatan dan kesemua yang ditahan menerima gaji dianggarkan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Polis juga merampas 14 set komputer, dua komputer riba, dua kad akses, dua unit modem Wi-Fi, satu unit router, satu mesin tandatangan kehadiran dan beberapa peralatan lain, tambahnya.

Semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut manakala permohonan reman tesemua yang ditahan dibuat hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast