Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama pelajar pada Majlis Pelancaran Program TVET Management and Science University (TVET) – MSU di Chancellor Hall, Management & Science University (MSU), University Drive Off Persiaran Olahraga, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JULAI 2025.

 

SHAH ALAM – Kerajaan menawarkan pembiayaan sepenuhnya kepada graduan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mengambil kursus keusahawan di Management and Science University (MSU).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin tidak semua graduan TVET akan memasuki pasaran pekerjaan kerana ada yang mahu menjadi usahawan atau dipanggil tekno-usahawan.

Menurutnya, beliau telah membincangkan perkara itu dengan Presiden MSU, Prof Tan Sri Mohd Shukri Ab Yajid supaya mereka yang mengambil diploma atau ijazah dalam bidang berkenaan mendapat tajaan tersebut.

“Kita akan memperincikan perkara itu agar mereka yang ingin mengambil kursus berkenaan akan diuruskan perbelanjaannya oleh KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran Program TVET MSU di sini, hari ini. Hadir sama pada majlis itu Mohd Shukri dan Naib Canselor MSU, Datuk Dr. Junainah Abd Hamid.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mencabar agar MSU mencapai tahap 100 peratus kebolehpasarah graduan pada 2028 supaya satu anugerah khas dapat diberikan kepada univerisiti itu.

Katanya, langkah berkenaan diambil sebagai penanda aras bagi menggalakkan institusi TVET yang lain mencapai tahap sama.

Jelasnya, perkara itu sudah tentunya memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak agar matlamat yang dikehedaki akan tercapai.

Ditanya mengenai jumlah sasaran graduan yang akan diberikan peluang untuk dibiayai bagi melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan terperinci mengenai perkara itu.

“Kita akan adakan perbincangan terperinci mengenai keperluan pasaran dan kursus yang akan ditawarkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast