KUALA LUMPUR – Kegiatan mempromosikan aktiviti perjudian atas talian di sebuah premis perniagaan di Jalan Kia Peng, di sini berjaya dipatahkan dengan penahanan 13 individu termasuk dua warga China, semalam.
Serbuan Op Dadu bermula jam 1 tengah hari itu dijalankan oleh pasukan daripada Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, dengan kerjasama Bahagian Forensik Bukit Aman.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, 13 individu yang ditahan terdiri melibatkan dua lelaki warga China, lapan lelaki tempatan dan tiga wanita tempatan.
“Pemeriksaan mendapati, ada antara suspek warga asing dikesan mengemukan dokumen perjalanan dipercayai sudah tamat tempoh.
“Semakan lanjut mendapati premis yang terletak di tingkat 23 dikenal pasti sebagai pusat panggilan bagi promosi perjudian dan mereka juga menjalankan kegiatan itu menggunakan platform Singa 77 dengan menyasarkan pasaran negara Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi itu turut merampas 14 set komputer, dua komputer riba, dua kad akses, dua modem WiFi, satu penghala (router) dan sebuah mesin tandatangan kehadiran.
“Siasatan mendapati, sindiket itu beroperasi sejak awal April lalu dengan waktu bekerja antara pukul 11 pagi hingga 8 malam setiap hari dan mereka menerima gaji antara RM3,000 hingga RM4,000 dibayar oleh pemilik syarikat yang menyewa premis tersebut,” ujarnya.
Katanya lagi, permohonan reman terhadap semua individu berkenaan akan dibuat hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette
















