KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan Program Mini MAHA Pahang 2025 yang bakal berlangsung pada 14 hingga 17 Ogos 2025 bertempat di Dataran Temerloh.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, diadakan dengan kerjasama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Negeri Pahang.
“Program ini merupakan satu platform strategik bagi mengetengahkan sektor agromakanan negeri Pahang. Ia termasuk penggunaan teknologi terkini dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan, mempromosikan produk usahawan tempatan serta inisiatif kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui media sejurus Program Moh Kendurian di Ladang Kampung Mahkota Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, objektif utama program ialah memperkenalkan kepada golongan sasar penggunaan teknologi dan invasi terkini dalam sector pertanian, penternakan dan perikanan.
Selain itu ia dapat mengukuhkan jaringan antara pemain industri dalam memberikan galakan kerjasama antara petani, peladang, penternak, nelayan, usahawan, agensi kerajaan, syarikat swasta, dan institusi penyelidikan.
Program Mini MAHA juga memberi pendedahan dan menarik minat generasi muda menceburi sektor pertanian dengan menampilkan pertanian sebagai satu industri moden dan berpotensi tinggi.
Tambahnya, sebanyak 60 acara akan disediakan sepanjang empat hari penganjuran Mini MAHA Pahang 2025 dengan penglibatan lebih 30 jabatan dan agensi.
Antara tarikan utama program ini termasuklah Pahang Berselawat dan Forum Perdana, agihan buah-buahan secara percuma termasuk durian pada 16 Ogos 2025 kepada 500 pengunjung terawal dalam acara Kenduri Buah.
“Program ini dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung dari seluruh negara dengan penglibatan 100 usahawan serta sasaran nilai jualan sebanyak RM1.2 juta.
“Ini sekali gus memberikan impak ekonomi secara langsung kepada para usahawan tani, vendor makanan, penggiat industri asas tani serta sektor pelancongan tempatan,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang berharap agar Program Mini MAHA Pahang 2025 menjadi pemangkin kepada lonjakan baharu dalam sektor agromakanan dan keterjaminan makanan negeri.
Beliau berharap program yang sama dapat menupuk minat generasi muda terhadap bidang pertanian moden serta mengukuhkan peranan Pahang sebagai negeri pengeluar makanan utama negara.
Susulan itu orang ramai dijemput hadir memeriahkan program ini bersama keluarga dan Komuniti tempatan dalam suasana yang penuh harmoni, makmur dan sejahtera. – MalaysiaGazette
















