JOHOR BAHRU – Seorang pekerja ladang kelapa sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM2,000 kepada anggota polis bagi tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerjanya yang memiliki dadah, November tahun lalu.
Tertuduh, R Jeevananthan, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memberikan suapan iaitu wang tunai berjumlah RM2,000 kepada anggota polis berpangkat sarjan yang merupakan Penyelia Cawangan Unit Rondaan dan Bermotosikal, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
Ia sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas pekerja wanitanya yang berusia 24 tahun di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dadah berbahaya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 12.50 tengah malam di Kilometer 14, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat pada 8 November 2024.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga satu perempat daripada maksimum hukuman penjara bagi kesalahan asal, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan turut dibuat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Faizul Kamarozaman yang mengendalikan kes itu mencadangkan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi yang mewakili tertuduh kemudian memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diberikan jamin yang minima kerana tertuduh mempunyai anak yang masih kecil.
“Pendapatan tertuduh hanya RM2,000 sebagai pekerja ladang kelapa sawit di Keratong, Pahang, dia merupakan punca pendapatan keluarga dan isterinya merupakan suri rumah dan tidak bekerja,” ujarnya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Tarikh 18 September depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















