ROMPIN – Seorang ejen perolehan semula kenderaan maut apabila kereta dinaikinya melanggar sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 108 Jalan Kuantan – Segamat di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira pukul 1 petang tadi.
“Siasatan awal mendapati, mangsa yang merupakan penumpang hadapan sebuah kereta jenis Nissan Almera dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke Segamat.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, sebuah lori jenis Isuzu NPR dipandu lelaki berusia 43 tahun di arah bertentangan berhenti di tengah jalan dan membelok ke kanan untuk masuk ke simpang Petron Gadak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kereta itu dipandu seorang lagi Ejen Perolehan Semula Kenderaan yang kemudiannya telah melanggar bahagian badan sebelah kiri lori terbabit.
Akibat kemalangan itu, mangsa, Muhamad Helmi Mesouwir Sofet, 28 mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan kaki, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.
Pemandu kereta terbabit pula katanya mengalami kecederaan di bahagian dada dan masih dirawat di hospital sama, manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan dapati kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang cuai ketika membelok masuk ke simpang dan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kemalangan maut,” tambahnya.
Sharif Shai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















