JOHOR BAHRU – Seorang pengamal perubatan berputih mata selepas rugi RM8.7 juta akibat terjerat tawaran untung besar menerusi pelaburan saham dalam talian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Azrul Hisham Mohd Shafee berkata, mangsa iaitu seorang wanita warga tempatan berusia 53 tahun terjebak dengan pelaburan saham berkenaan kira-kira empat bulan lalu.

“Mangsa melihat iklan pelaburan dalam laman sosial yang menjanjikan keuntungan lumayan pada 25 April lalu. Tertarik dengan iklan tersebut, mangsa berurusan dengan suspek bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Mangsa ditawarkan keuntungan sehingga 520 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, percaya dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa membuat transaksi antara Mei hingga Julai lalu berjumlah RM8.7 juta ke dalam beberapa akaun bank yang diarahkan suspek.

Daripada jumlah yang dilaburkan mangsa hanya memperoleh keuntungan sebanyak RM6,033 dan apabila ingin mengeluarkan dana serta keuntungan pelaburan, dia diminta membayar RM500,000 sebagai deposit.

Bukan itu sahaja, suspek mengugut untuk membekukan akaun mangsa sebelum lelaki itu tersedar sudah ditipu dan membuat laporan polis semalam.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara satu hingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

“Polis menyeru dan menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan menarik,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast