Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan memberikan diri sendiri dadah Jun lalu.

MELAKA – Seorang pensyarah universiti awam di Melaka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan memberikan dadah kepada diri sendiri pada Jun lalu.

Tertuduh, Mohd. Shahrizan Othman, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Shahrizan didakwa telah memberikan diri sendiri dadah jenis amphetamine dan methamphetamine yang disenaraikan di bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Tengah pada pukul 5.20 petang 19 Jun 2025.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan hendaklah menjalani pengawasan di bawah Seksyen 38B akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan perintah pengawasan selama dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif manakala tertuduh diwakili Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Izzudin dalam hujahnya memberitahu, anak guamnya itu merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti awam di negeri ini dengan pendapatan sekitar RM7,000 dan tertuduh sedang direhatkan susulan kes mahkamah dihadapinya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan tarikh 29 September depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast