JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mengambil tindakan terhadap pemilik pusat cuci kenderaan yang menolak kenderaan tempatan dan hanya memilih kenderaan dari Singapura.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, pihaknya tidak menerima aduan rasmi berkenaan tetapi siasatan akan dilakukan dan sekiranya benar tindakan akan dikenakan.
Pihak MBJB tegasnya, akan membatalkan lesen perniagaan mereka.
“Terdapat 543 pusat cuci kereta berlesen di kawasan MBJB. Kebanyakkan pusat cuci kereta ini menawarkan cuci ‘water wax’ yang berharga RM40 dan ke atas kepada warga singapura.
“Ini kerana itu adalah perkhidmatan yang mahal ditawarkan dan menolak kereta warga tempatan yang mahu cucian biasa. Tetapi kes ini tidak dapat dibuktikan dan tiada aduan rasmi diterima.
“Kita akan terus memantau isu ini, jika ia berterusan tindakan tegas termasuk batalkan lesen akan dibuat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBJB di Menara MBJB di sini hari ini.
Jumaat lalu tular pusat cuci kereta di Taman Abad di sini yang didakwa hanya menerima kereta bernombor pendaftaran Singapura untuk dicuci.
Premis yang dijaga pekerja warga asing itu dilaporkan menolak permintaan pelanggan tempatan dengan alasan telah ditempah semua pelanggan dari republik berkenaan.
Sementara itu, Mohd Haffiz berkata, MBJB akan terus melaksanakan operasi mengesan pusat cuci kereta tidak berlesen.
Beliau memberitahu, sebanyak 53 premis pusat cuci kereta tidak berlesen telah diambil tindakan sepanjang tahun lalu.
Sementara setakat Jun tahun ini katanya, 33 buah premis tidak berlesen dikesan.
Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat pada hari ini menukar aktiviti perniagaan pusat cuci kenderaan daripada kategori aktiviti perniagaan tidak berisiko tinggi kepada aktiviti perniagaan berisiko tinggi.
Keputusan itu katanya, susulan banyak kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha pusat cuci kereta.
MBJB ujarnya, bertindak tegas mengetatkan syarat permohonan lesen dan pembaharuan lesen iaitu pengusaha perlu memperkemaskan tempat perniagaan, memastikan sistem rawatan air kumbahan (SRAK) berfungsi dengan baik dan tidak merosakkan jalan.
“Pengusaha juga perlu menyediakan daftar pekerja untuk disemak anggota bertugas sama ada daripada pihak MBJB atau agensi penguatkuasaan lain yang terlibat.
“Sekiranya gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, tidakan akan diambil mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada. Selain lesen tidak akan diperbaharui atau digantung,” katanya. -MalaysiaGazette
















