SHAH ALAM – Meningkatkan persepsi positif Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama masyarakat di Selangor antara visi utama yang ditekankan Ketua Polis Selangor baharu, Datuk Shazeli Kahar.
Beliau yang menggalas tanggungjawab besar di negeri paling maju ini turut menyatakan kesediaanya dalam menghadapi cabaran kepadatan penduduk di Selangor.
“Seperti saya sebutkan tadi, saya bersama pasukan akan bekerjasama sepenuhnya untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat di negeri.
“Ini kerana kepercayaan akan memudahkan sebarang tindakan pencegahan jenayah atau penguatkuasaan dan persepsi positif mampu menjadi benteng awal dalam membina kerjasama serta mengurangkan potensi konflik,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Shazeli yang berpengalaman 25 tahun dalam PDRM mengakui tanggungjawab ini bukan mudah kerana beliau kali pertama berkhidmat di Selangor .
Namun, beliau komited bekerjasama dengan media bagi memastikan maysarakat mendapat maklumat yang tepat serta berterusan.
“Saya sedar ia bukan tanggungjawab yang mudah dan pendekatan bersepadu bersama semua pihak kepentingan adalah keutamaan. Kita akan nilai cabaran sebenar berdasarkan situasi semasa dan terus menyusun strategi terbaik bersama pegawai kontinjen.
“Saya juga amat mengharapkan bantuan dan sokongan rakan-rakan media untuk menyebarkan maklumat yang sahih, supaya masyarakat sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” ujarnya.
Dalam masa sama, Shazeli menegaskan PDRM Selangor akan terus berpegang kepada prinsip keterbukaan dan ketelusan dalam menjalin hubungan dengan masyarakat.
“Saya percaya kerajaan negeri juga berkongsi hasrat yang sama untuk memastikan rakyat hidup dalam suasana aman. Kita tidak boleh bergerak secara bersendirian dalam hal keselamatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















