Cikgu Wan Anwar

KUALA LUMPUR – Abang kepada guru yang ditumbuk oleh seorang pelajar ketika cuba meleraikan kekecohan di sebuah sekolah menengah di Kajang Isnin lalu berharap adikya terus menjadi contoh kepada anak murid dan tidak berputus asa.

Menerusi hantaran di Facebook, individu yang menggunakan nama Rah Fird berkata, keluarga mereka sentiasa menyokong Wan Anwar.

“Kepada Cikgu Wan Anwar, teruskan menjadi contoh yang baik kepada anak-anak murid dan rakyat Malaysia. Jangan putus asa dengan apa yang berlaku. Keluarga sentiasa bersama adik, Insya Allah” katanya di laman sosial itu.

Sebelum ini, tular di laman sosial tindakan seorang pelajar menumbuk gurunya.

Insiden berlaku apabila Wan Anwar membantu seorang guru lain yang sedang dimarahi oleh pelajar terbabit dipercayai kerana isu ponteng kelas.

Malangnya, tindakan tersebut menyebabkan Wan Anwar pula menjadi mangsa serangan fizikal.

Difahamkan, Cikgu Wan Anwar merupakan guru ganti sementara dalam subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dan sedang menunggu panggilan untuk ujian kelayakan guru tetap.

Beliau berpengalaman lebih empat tahun sebagai guru ganti dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dari Universiti Putra Malaysia.

Wan Anwar pernah mendapat pendidikan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), juga bekas atlet boling negeri Johor yang pernah menyertai kejohanan MSSM dan SUKMA.

Dalam pada itu, Rah Fird menaruh harapan agar pelajar terbabit insaf dan menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat suatu hari nanti.

Semalam, remaja berusia 14 tahun itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Kajang atas pertuduhan mencederakan guru berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, pelajar tingkatan peralihan itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah di sini kira-kira jam 4.48 petang, Isnin lalu.

Kes dikemukakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 11 September depan bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast