Mesin RO Water yang disita MPSepang dalam operasi yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaannya di sekitar Dengkil dan Kota Warisan, baru-baru ini.

 

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyita lima mesin jual air dalam Operasi Bersepadu RO Water yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaannya di sekitar Dengkil dan Kota Warisan, baru-baru ini.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Unit Aduan Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perlesenan MPSepang itu menyasarkan premis yang beroperasi tanpa lesen dan permit sah daripada pihak berkuasa tempatan.

Antara kawasan yang terlibat dalam pemantauan ialah Taman Mutiara, Taman Bintang Mas dan Sunsuria Kota Warisan.

Sebanyak 17 mesin jual air diperiksa manakala lima daripadanya disita kerana gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.

Jabatan Penguatkuasa MPSepang menjalankan operasi di sekitar Dengkil dan Kota Warisan, baru-baru ini.

Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, iaitu bagi kesalahan meletakkan barang berkaitan perniagaan di tempat awam tanpa kebenaran.

“Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berisiko menjejaskan aspek kebersihan dan keselamatan pengguna,” menurut MPSepang dalam kenyataan itu.

MPSepang turut menasihatkan semua pengusaha mesin jual air agar memastikan setiap mesin yang beroperasi mendapat kelulusan dan permit sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jelas beliau,  kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan tindakan sitaan, denda atau pendakwaan di mahkamah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan operasi mesin air tanpa lesen digalakkan menyalurkan aduan melalui saluran rasmi MPSepang. – Malaysiagazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast