KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing daripada 15 peratus sedia ada kepada 10 peratus menjelang 2030.
Menurut Perdana Menteri, usaha ini, pelaksanaan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat akan dikuatkuasakan dengan lebih menyeluruh bagi menggalakkan majikan beralih kepada automasi, mekanisasi serta pengambilan pekerja tempatan.
Selain itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha penyelarasan gaji secara menyeluruh akan dipercepat bagi memastikan pekerja menikmati perkongsian ekonomi yang lebih adil dan saksama.
“Kadar gaji minimum akan diperluas kepada graduan dan pekerja separa mahir, termasuk lepasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kod MASCO 8 dan ke atas. Ikhtiar ini bertujuan menyediakan gaji setimpal setaraf kelulusan dan kemahiran pekerja,” katanya Ketika membentangkan RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya lagi, peranan Majlis Perundingan Gaji Negara juga akan diperkasa, manakala portal e-MASCO akan ditambah baik sebagai instrumen pemantauan kadar gaji yang lebih telus dan responsif.
“Pada masa sama, kerajaan juga menggalakkan syarikat-syarikat besar menyediakan gaji kehidupan wajar seperti yang telah dilaksanakan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” jelasnya.
Anwar berkata, kerajaan turut komited memperluas perlindungan sosial kepada pekerja melalui Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja yang akan menyediakan perlindungan insurans sosial menyeluruh termasuk di luar waktu kerja.
Tambahya, penggiat industri gig juga akan dipastikan tidak terpinggir daripada akses perlindungan sosial melalui penyediaan perundangan khusus di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital.-MalaysiaGazette
















