Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Parlimen untuk membentangkan RMK 13 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi tempoh 2026-2030 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membawa tema Melakar Semula Pembangunan.

Menurutnya, tempoh lima tahun ke depan adalah tempoh kritikal untuk Malaysia melonjak bukan hanya ke arah negara berpendapatan tinggi, malah mampu melahirkan rakyat berjiwa insaniah dan menyediakan kehidupan berkualiti.

Anwar berkata, RMK-13 menumpukan tiga kebijakan utama.

Pertama melibatkan tatakelola baik menjadi paksi kepada pentadbiran negara dalam memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama serta mengambil kira keperluan rakyat. Kerajaan Madani akan meneruskan usaha untuk memperkukuh integriti dan akauntabiliti, mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memantapkan pengurusan fiskal.

Tumpuan kedua adalah meningkatkan kerencaman ekonomi secara menyeluruh kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi.

“Peralihan ini bermatlamat untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negara, umpama menaikkan siling atau bumbung. Tunjang utama peralihan ini adalah pendigitalan dan teknologi termaju, terutama kecerdasan buatan (AI),” katanya di Dewan Rakyat ketika membentangkan RMK-13.

Manakala tumpuan ketiga adala embangunan yang terangkum dan responsif dengan keutamaan untuk meningkatkan darjat kehidupan rakyat.

“Usaha akan dipergiat untuk membantu rakyat menangani beban kos sara hidup, membentuk sistem sosial negara berteraskan insan Madani, mempertingkatkan mutu kehidupan serta memperkukuh tahap sosioekonomi golongan sasar ke arah mencapai kehidupan wajar,” ujarnya.

Perdana Menteri menegaskan, RMK-13 bukan sekadar retorik, sebaliknya kerajaan telah menetapkan sasaran keberhasilan yang boleh diukur melalui angka-angka ekonomi untuk memandu dan memantau gerak kerja yang akan dilaksanakan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast