KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM67 bilion bagi sektor pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, peruntukan itu merangkumi pembinaan sekolah baharu serta kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf bangunan sedia ada termasuk institusi di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
“Pembinaan sekolah juga akan dijadikan syarat Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar yang baharu.
“Manakala, pembinaan sekolah vertikal akan diperluas bagi menangani isu kepadatan pelajar dan ketiadaan tapak sekolah bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen di sini hari ini.
Anwar menambah, sektor kesihatan pula akan menerima peruntukan sebanyak RM40 bilion dalam tempoh RMK13.
Perdana Menteri berkata, ini termasuk bagi mengurangkan perbelanjaan rakyat atau ‘out of pocket expenses’ untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan.
“Selain itu cukai pro-kesihatan akan diperluas daripada gula kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol, bukan sekadar untuk hasil, tetapi bagi mendorong perubahan tingkah laku dan membendung peningkatan NCD (penyakit tidak berjangkit) yang kian membimbangkan,” katanya.
Anwar berkata, lebih banyak projek pembinaan serta naik taraf hospital dan klinik kerajaan termasuk yang daif akan dilaksanakan.
Ujarnya, rangka kerja pembangunan profesional sektor kesihatan peringkat kebangsaan juga akan dibangunkan untuk menangani isu keperluan sumber manusia.
“Ikhtiar ini merangkumi latihan pra-perkhidmatan, pelesenan dan pendaftaran, pengambilan, penempatan, serta pembangunan kerjaya bagi memastikan pengekalan bakat dalam sektor kesihatan.
“Pengurusan rekod kesihatan akan diperkukuh sebagai teras pendigitalan sistem kesihatan. Usaha ini akan memantapkan keupayaan saling kebolehkendalian merentas fasiliti kesihatan.
“Ini akan menyumbang kepada penjanaan analitik kesihatan berimpak tinggi yang diperkasa dengan AI sebagai usaha mempertingkat kualiti penjagaan kesihatan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















