Antara 29 GRO warga asing yang ditahan dalam Ops Gegar di tiga pusat hiburan di bandar Pontian, kelmarin

PONTIAN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 29 warga asing yang bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di tiga buah pusat hiburan di bandar ini malam kelmarin.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Gegar itu dilakukan pukul 12 tengah malam melibatkan 35 pegawai dari bahagian penguat kuasa JIM negeri.

“Secara keseluruhan seramai 69 orang warga tempatan dan warga asing telah diperiksa.

“Tangkapan dibuat ke atas 17 wanita warganegara Vietnam, 11 wanita Indonesia dan seorang lelaki Indonesia berumur antara 18 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan berkerja sebagai GRO.

Menurut beliau, turut ditahan tiga lelaki tempatan yang merupakan pengurus dan penyelia pusat hiburan tersebut.

Mohd Rusdi berkata, mereka ditahan kerana melakukan kesalahan bawah Seksyen 6 (1)(c) 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Mereka katanya, turut disiasat bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia setelah pas atau permit telah dibatalkan dan Seksyen 56(1) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu mengguna atau tanpa kuasa yang sah memiliki permit, pas dan dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan.

Beliau memberitahu, ini teramasuk Peraturan 11(7) (a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas lawatan sosial serta peraturan 39(b) iaitu melanggar syarat ditetapkan.

Tiga warga tempatan itu katanya, dikaitkan dengan kesalahan bawah Seksyen 56 (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

Selain itu kata Mohd Rusdi, sebanyak 17 notis hadir ke pejabat dikeluarkan JIM bagi membantu siasatan.

Semua yang ditahan tambahnya, ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru bagi siasatan lanjut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast