KUALA LUMPUR – Suara Mahasiswa UMS menggesa siasatan jujur dan menyeluruh oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab agar kebenaran dapat didedahkan tanpa sebarang campur tangan, demi keadilan untuk arwah Zara dan keluarganya.
Menurutnya, kejadian ini bukan sahaja meninggalkan duka yang serius kepada keluarga, malah menjadi indikasi jelas akan permasalahan serius buli dalam institusi pendidikan kita yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.
“Kami merakamkan rasa simpati dan solidariti tingkat tertinggi kepada keluarga arwah Zara Qairina Mahathir, 13 yang telah menjadi mangsa buli tragis sehingga membawa kepada kehilangan nyawanya yang tidak ternilai di SMK Agama Tun Datu Mustapha, Papar,” katanya dalam kenyataan di sini.
Suara Mahasiswa UMS menambah, reformasi sistem pendidikan berasrama agar lebih berkesan dalam menangani isu buli, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), perlindungan pengadu dan pemberi maklumat serta program Pendidikan kesedaran buli yang menyeluruh.
“Kepada keluarga Zara Qairina, kami bersolidarti dan berdoa agar kalian diberi ketabahan menghadapi dugaan ini. Suara Mahasiswa UMS akan terus memantau perkembangan kes ini dan memberi sokongan moral serta advokasi terhadap perubahan sistemik dalam Pendidikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















