KUALA LUMPUR – Mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan kaki dan tangannya berikat berhampiran landasan kereta api di Kalumpang, semalam, dipercayai maut akibat dijerut menggunakan tali.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husinberkata, pengesahan dapatan itu hasil bedah siasat yang dijalankan pagi tadi di Hospital Sungai Buloh.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa terdapat kesan jerutan pada leher dengan menggunakan tali.
“Kita percaya kesan jerutan itu disyaki sama dengan tali (seperti rantai) yang dipakai pada leher mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Tambah beliau lagi, punca kematian adalah ligature strangulation.
Semalam media melaporkan, mayat lelaki ditemui dengan kaki dan tangan diikat berhampiran landasan kereta api di Kampung Sungai Serian, Kalumpang.
Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada jam 10.30 pagi.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati mangsa dijumpai di tepi landasan kereta api yang dipercayai telah dicampak dari jambatan Kampung Sungai Serian yang berketinggian 11.15 meter.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tanpa identiti itu telah diikat kaki dan tangan, kepala pula dibalut dengan kain serta dilekatkan pita pelekat hitam dan putih. – MalaysiaGazette
















