Kon Yeow. - Gambar ihsan FB CKY

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan pengurangan tarif eksport Malaysia ke Amerika Syarikat daripada 25 peratus kepada 19 peratus sebagai satu kelegaan kepada sektor eksport utama negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu memberi kelegaan kepada pengeksport terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan serta peranti perubatan yang menjadi kekuatan ekonomi Pulau Pinang.

“Namun, pengurangan ini hanya bersifat separa kerana kita masih berdepan persaingan sengit daripada negara serantau yang menikmati tarif lebih rendah atau sifar melalui perjanjian perdagangan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video yang dimuat naik laman Facebook Buletin Mutiara selepas melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat negeri dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, kerajaan negeri kini menunggu maklum balas rasmi daripada Kerajaan Persekutuan berhubung implikasi pengurangan tarif itu serta langkah seterusnya.

“Pengurangan tarif itu dilihat sebagai satu rahmat kerana ia menyelaraskan kadar Malaysia dengan negara-negara Asean lain.

“Ini meletakkan negara kita di landasan yang sama dari segi hubungan perdagangan antara negara ASEAN dan Amerika Syarikat,” katanya.

Justeru Kon Yeow menggesa Kerajaan Persekutuan meneruskan rundingan untuk mendapatkan lebih banyak konsesi tarif, terutama dalam sektor yang menjadi kekuatan strategik ekonomi Pulau Pinang.

“Ini penting bagi memastikan daya saing kita dalam rantaian bekalan global serta menarik pelaburan bernilai tinggi ke Pulau Pinang dan Malaysia secara keseluruhan.

“Kerajaan negeri akan terus komited menyokong industri tempatan dan pengeksport dalam menghadapi situasi perdagangan yang sentiasa berubah,” katanya.

Media terdahulu melaporkan, Amerika Syarikat (AS) mula mengenakan tarif 19 peratus terhadap Malaysia serta empat lagi negara anggota ASEAN berkuat kuasa hari ini.

Menurut perintah eksekutif yang dikeluarkan Rumah Putih semalam, kadar tarif sama turut terpakai ke atas Kemboja, Filipina, Thailand dan Indonesia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast