Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru - Foto hiasan

KOTA TINGGI – Polis akan menjalankan siasatan terperinci punca kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai semasa di Hospital Kota Tinggi selepas menjalani latihan di Pulada, Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, siasatan menyeluruh termasuk merakam percakapan saksi-saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pasti punca insiden tersebut.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan kematian pelatih Palapes berkenaan pukul 5.33 petang, pada 28 Julai lalu.

“Siasatan awal polis mendapati pada 2.30 petang, 28 Julai lalu mangsa berumur 22 tahun tiba-tiba meracau dan hilang kawalan semasa menjalani Latihan Inokulasi Tempur di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada.

“Menyedari situasi tersebut, mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi oleh Pegawai Perubatan (RSAT) namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Zon Kecemasan, Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk tindakan prosedur siasatan.

Hasil bedah siasat yang dijalankan ujarnya, mendapati tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan dan punca kematian masih menunggu hasil siasatan makmal.

“Kes diklasifikasikan di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR) dan disiasat oleh pegawai penyiasat, Asisten Superitendan Abd Rahim Idris iaitu Ketua Polis Balai Kota Tinggi,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi sementara menunggu hasil siasatan lanjut.

Hari ini, ibu kepada pelatih Palapes berkenaan, menuntut agar siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya sewaktu menjalani latihan dikendalikan pasukan itu Isnin lalu.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia ketika menjalani latihan Palapes UTM Pulada, Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, Ulu Tiram, Johor Bahru dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.

Ibu tunggal itu berkata, pemerhatian terhadap jenazah anaknya sewaktu bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik HSI mendapati kecederaan teruk pada tubuh jenazah anaknya yang tidak selaras dengan maklumat awal bahawa kematian anaknya berpunca daripada sawan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast