KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menafikan dakwaan bahawa Malaysia berkompromi terhadap piawaian halal semata-mata untuk memenuhi kehendak Amerika Syarikat (AS).
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerjasama yang dibina dengan AS hanya berkisar kepada usaha memperkemas proses pengimportan daging halal dari negara tersebut.
Katanya, tiada pelonggaran syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Tiada ruang untuk kompromi apabila melibatkan prinsip syariah. Semua daging halal yang diimport, termasuk dari AS masih tertakluk sepenuhnya kepada pematuhan piawaian halal Jakim.
“Sekiranya tidak mematuhi, ia tidak akan dibenarkan memasuki pasaran Malaysia,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Tambah beliau, hanya badan pensijilan halal di AS yang telah mendapat pengiktirafan Jakim dibenarkan mengesahkan status halal produk berkenaan.
Mengulas kekeliruan yang timbul daripada dakwaan sesetengah pihak, Tengku Zafrul berkata, kerajaan tidak pernah berkompromi dalam soal yang membabitkan sensitiviti umat Islam.
“Pensijilan halal bukan isu yang boleh dimanipulasi untuk tujuan politik atau sensasi. Ia memerlukan ketelitian dan kefahaman terhadap realiti sistem yang sudah mantap.
“Saya mohon mana-mana pihak untuk berpegang kepada fakta yang sahih sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” ujarnya.
Beliau melihat pertukaran pandangan dengan AS sebagai satu peluang untuk memperhalusi semula aspek-aspek tertentu dalam sistem sedia ada, terutamanya melibatkan elemen birokrasi yang boleh diperbaiki.
“Kita tidak menolak bahawa ada ruang untuk penambahbaikan dalam beberapa proses. Pandangan dari luar, termasuk daripada AS, memberi kita peluang untuk menyemak semula sistem secara objektif dan membaikinya tanpa menjejaskan prinsip asas kita,” tambah beliau.
Isu ini timbul susulan langkah AS mengurangkan tarif terhadap beberapa produk Malaysia, termasuk daging halal, yang mencetuskan kebimbangan bahawa langkah itu mungkin bersifat ‘timbal balik’ melibatkan piawaian halal negara. -MalaysiaGazette















