KUALA LUMPUR – Bawa lari gelang emas masa jurujual ambil mesin kira.
Begitulah nekad seorang lelaki mencuri di sebuah kedai emas di Prima Sri Gombak dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad berkata, dalam kejadian 5.50 petang itu, suspek mendakwa mahu membeli rantai emas sebaga hadiah kepada isterinya.
“Semasa jurujual yang juga pengadu mahu mengambil mesin kira, suspek terus melarikan diri bersama gelang emas tersebut.
“Suspek melarikan diri menggunakan sebuah motosikal dan usaha mengesannya masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, dalam video tular, suspek bergegas keluar dari kedai emas dan menunggang motosikal sehingga terlupa memakai topi keledar.
Menurut Noor Ariffin, kes disiasat di Bawah Seksyen 380, Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Sarjan Zirwatul Huda Radzi di talian 014-3336173. – MalaysiaGazette















