MUAR – Dua penunggang basikal warga asing maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Parit Yusof, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu berlaku pukul 8.45 malam melibatkan tiga penunggang basikal warganegara Bangladesh dan sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa tiga lelaki Bangladesh yang berusia 21 tahun masing-masing menunggang basikal dalam perjalanan dari Parit Yusof menuju ke Bukit Mor dalam keadaan menyongsang arus.
“Apabila sampai di tempat kejadian ketiga-tiga penunggang basikal tersebut dilanggar sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran dan jenis yang tidak pasti bergerak terus di laluan Parit Yusof menghala Bukit Mor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, akibat pelanggaran tersebut, ketiga-tiga mangsa tercampak ke bahu kiri jalan dan dua daripada mereka mengalami kecederaan di kepala dan badan.
Seorang lagi katanya, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang daripada dua mangsa yang cedera itu meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Zon Merah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Raiz Mukhliz berkata, pihaknya dalam usaha mengesan pemandu kenderaan berkenaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun dan drnda maksimum RM50,000.
Beliau memohon saksi yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Khairun Izham Noor Yusry 013-9121508 atau tampil ke balai polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk membantu siasatan .- MalaysiaGazette
















