Mohamed Khaled dan Johari dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang berlangsung pada petang ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordi akan menghubungi rakan sejawat dari Kemboja, Thailand petang ini, bagi memaklumkan kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah GBC.

Beliau berkata, satu mesyuarat secara dalam talian (Zoom) juga akan dilakukan petang ini sejurus panggilan bersama-sama kedua-dua menteri dari dua negara berkenaan dilakukan.

“Kita akan ada zoom meeting petang ini dengan Menteri Pertahanan Thailand dan juga Menteri Pertahanan Cambodia. Sebelum tu saya akan telefon masing-masing dulu untuk beritahu mengenai kesediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi menjayakan mesyuarat sempadan antara Thailand dan Kemboja.

“….Dan selepas itu, selepas bercakap dengan kedua-duanya, barulah kita ada zoom meeting antara ketiga-tiga Menteri Pertahanan untuk kita tentukan apa dia perkara yang hendak kita bincangkan supaya mesyuarat yang akan berlangsung minggu depan dapat berjalan dengan baik.

“Sebelum mesyuarat antara Menteri Pertahanan itu diadakan, semua pegawai-pegawai daripada kedua-dua pihak akan mula berjumpa dan kita akan adakan ini semua di Wisma Perwira di Kuala Lumpur bersebelahan dengan Kementerian Pertahanan,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata dalam sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sebelum ini, Kemboja bersetuju menghadiri GBC bersama-sama Thailand di Malaysia, minggu depan, untuk meneruskan rundingan damai demi menyelesaikan konflik sempadan antara kedua-dua negara.

Mesyuarat itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Phnom Penh pada 4 Ogos ini.

Bagaimanapun, semalam, Thailand mengemukakan cadangan agar mesyuarat diadakan di Malaysia sebagai lokasi berkecuali, dan tempohnya dipanjangkan daripada hanya satu hari perbincangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast