KUALA LUMPUR – Penganjuran Hari Bertemu Pelanggan Angkatan Pertahanan Awam (APM) merupakan inisiatif julung kali diadakan dan membawa pendekatan baharu mendekati rakyat secara langsung.
Program yang berlangsung di Plaza Metro Kajang itu bukan sahaja memperkenalkan peranan serta fungsi APM malah memberi ruang kepada masyarakat memahami aspek kesiapsiagaan bencana dan bantuan kecemasan dalam suasana santai dan mesra komuniti.

“Objektif program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dan memangkin ilmu pertahanan awam dengan cara yang santai dan mesra komuniti.
“Antara pengisian menarik termasuk demonstrasi abseling oleh Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA), pertandingan mewarna, sesi Meet and Greet bersama artis APM, CPR Dance, cabutan bertuah serta pameran peralatan operasi dan khidmat kesedaran awam,” kata APM dalam kenyataan.
Program berkenaan dirasmikan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed dan majlis penutupan diserikan dengan pertukaran cenderamata kenangan antara APM dan MKH Plaza Metro Kajang, sijil kepada wakil agensi dan urus setia yang terlibat. – MalaysiaGazette















