Peserta-peserta yang hadir dalam Karnival Belia MADANI ‘Jom Aktif’ yang berlangsung Dewan Komuniti dan Arena BBST, di Sepang hari ini.

KUALA LUMPUR – Lebih 800 pengunjung membanjiri Dewan Komuniti dan Arena BBST, di Sepang hari ini bagi memeriahkan Karnival Belia MADANI ‘Jom Aktif’ yang berlangsung sejak pagi tadi.

Karnival yang sarat dengan pelbagai aktiviti sihat dan interaktif itu dianjurkan oleh Penggerak Belia Selangor Induk Sepang bersama Kelab Kebajikan dan Sukan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kemasukan adalah percuma serta terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat.

Antara objektif utama penganjuran program tersebut ialah bagi menggalakkan penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti riadah, sukan dan kemasyarakatan selain memupuk semangat perpaduan dan integrasi komuniti melalui penyertaan pelbagai peringkat umur.

Karnival itu turut menjadi platform positif untuk para belia mengekspresikan potensi diri melalui pelbagai aktiviti dan pertandingan, selaras dengan agenda Malaysia MADANI dalam membudayakan gaya hidup sihat dan aktif.

Antara aktiviti menarik yang menjadi tumpuan termasuk Pushbike untuk kanak-kanak dengan penyertaan 100 peserta, Pertandingan Dart melibatkan 128 regu, Pertandingan Futsal dengan penyertaan 32 pasukan, Netball Shoot-Out sebanyak 32 pasukan, Pertandingan e-sukan Mobile Legends yang disertai 20 pasukan serta Jualan Ehsan Rahmah dengan tawaran harga berpatutan.

Kemuncak acara turut diserikan dengan penampilan istimewa pelawak terkenal, Tauke Raja Lawak, yang menghiburkan hadirin dengan persembahan santai dan mencuit hati.

Menurut wakil penganjur, sambutan luar biasa yang diterima membuktikan bahawa program seperti ini mampu menarik minat serta penglibatan golongan belia selain mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti setempat.

“Kami amat menghargai sokongan semua pihak dan berharap karnival seperti ini akan diteruskan sebagai agenda tahunan belia di Sepang,” ujar wakil Penggerak Belia Selangor Induk Sepang dalam kenyataan.

Dengan pendekatan yang inklusif dan menyeluruh, Karnival Belia MADANI ‘Jom Aktif’ berjaya mencerminkan nilai-nilai keterangkuman, kesihatan dan kesejahteraan yang menjadi teras kepada konsep Malaysia MADANI.

Program berkenaan disempurnakan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast