PASIR GUDANG – UMNO akan tetap memperjuangkan nasib dan kepentingan Melayu sampai bila-bila, namun apa yang berubah adalah jajaran politiknya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti itu bersifat dinamik dalam arus politik semasa bagi memastikannya terus relevan.
Namun untuk kembali mendapat sokongan orang Melayu katanya, ahli dan pemimpin tidak boleh lagi bernostalgia dengan kejayaan atau pencapaian masa lalu.
“Ini tidak akan membawa kita ke mana-mana. UMNO sebagai parti nasionalisme dan Melayu mungkin lebih mujarab (lebih sesuai) pada masa (negara) berdepan penjajah (sebelum merdeka).
“Tetapi sekarang perjuangan UMNO adalah menangani cabaran dan isu semasa dengan memberikan agenda yang jelas untuk meyakinkan masa depan rakyat,” ujarnya yang juga Menteri Pertahanan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu di Dewan Muafakat Taman Mawar di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.
Mohamed Khaled berkata, parti keramat Melayu itu tidak seperti parti Melayu lain yang menggunakan sentimen semata-mata untuk menarik sokongan rakyat.
Beliau berkata, perbezaan UMNO dengan parti Melayu lain ialah mempunyai agenda dan perancangan untuk orang Melayu yang jelas serta meyakinkan.
Faktor itu katanya, perlu diperjuangkan UMNO dalam usaha untuk bersaing dengan parti Melayu lain kerana keyakinan orang ramai terhadap parti tersebut tidak seperti dahulu dan dikuatiri mereka akan semakin jauh serta sokongan semakin mengecil.
Jelasnya, UMNO tidak sama dengan parti Melayu lain yang hanya menggunakan sentimen untuk menarik sokongan Melayu
walaupun tidak mempunyai asas yang kukuh dan meyakinkan.
Khaled Nordin berkata, jika UMNO hanya memerlukan sokongan dengan menggunakan sentimen, parti berkenaan hanya perlu ahli atau penyokong yang taksub dan membuat tuli.
Justeru katanya, UMNO perlu sentiasa tampil sebagai parti yang progresif, rasional dan mengemuka idea serta kebijakan terhadap masalah rakyat.
Tegas beliau, UMNO mesti menjadi pencetus revolusi idea yang terbaik dan mempunyai pendirian dalam pelbagai isu berkepentingan nasional. – MalaysiaGazette
















