Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan di sebuah kondominium di Cheras berpunca daripada penderaan fizikal berterusan sejak sebulan lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan awal mendapati mangsa didera oleh ibu angkatnya, seorang wanita tempatan yang menjaga bayi tersebut sejak pertengahan Jun lalu.

“Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mengalami pelbagai kecederaan fizikal di seluruh badan termasuk keretakan pada tengkorak.

“Kecederaan itu disebabkan oleh penderaan berpanjangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian disedari apabila suspek lelaki yang juga suami kepada ibu angkat mangsa kemudian menghubungi polis pukul 9.34 malam 30 Julai lalu untuk memaklumkan bayi tersebut tidak sedarkan diri di kediaman mereka.

Siasatan mendapati pasangan terbabit menjaga bayi berkenaan sejak 18 Jun lalu selepas ibu kandung mangsa pulang ke Indonesia atas urusan peribadi.

Menurut Mohamed Usuf, motif penderaan dipercayai berpunca daripada tekanan emosi yang dialami suspek wanita apabila bayi berkenaan sering menangis sehingga menyebabkan dia bertindak kasar terhadap mangsa.

“Suspek lelaki bekerja sebagai jurujual manakala isterinya tidak bekerja. Saringan awal mendapati wanita tersebut juga positif dadah,” katanya lagi.

Kedua-dua suspek kini ditahan dan direman selama tujuh hari sehingga 6 Ogos depan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan dan mendera kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Polis kini sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi dan meneliti latar belakang penjagaan bayi tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast