MELAKA – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengarahkan semua pengarahnya supaya peka dengan insiden buli yang sering dilaporkan media kebelakangan ini supaya ia tidak berlaku di institusi pengajian awam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail berkata, ia juga telah diterangkan dalam Akta 174, atau Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1975, iaitu undang-undang yang memastikan ketenteraman dan disiplin di kalangan pelajar
“Kita melalui bahagian ambilan pelajar telah memberikan amanat dan mandat kepada seluruh pengarah politeknik dan kolej komuniti untuk memastikan perkara-perkara seperti ini (buli) tidak berlaku.
“Sistem pemantauan kita mempunyai warden, peraturan di bawah Akta 174 yang mana pelajar tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti seperti yang bertentangan akta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Politeknik/ Kolej Komuniti di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mohd Zahari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai amaran kepada pelajar JPPKK di seluruh negara susulan beberapa insiden di institusi pengajian tinggi yang dikaitkan dengan perbuatan buli.
“Selain itu, kawal selia dan pemantauan juga kerap dilakukan dalam kalangan warga politeknik dan kolej komuniti,” ujarnya.
Konvokesyen hari pertama itu bagi sesi pagi hari ini menyaksikan 254 daripada 569 graduan sijil dan diploma menerima skrol yang disampaikan Mohd Zahari selepas menamatkan pengajian di enam buah Kolej Komuniti di Melaka.
Majlis turut menyaksikan Anugerah Ketua Pengarah dirangkul Muhammad Azrul Hazami Abu Hassan, graduan Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian daripada Kolej Komuniti Jasin yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.91.
Turut menerima anugerah adalah, Gabriel Anak Akob daripada komuniti Orang Asli Suku Kaum Seletar yang mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang di bawah program Sijil Teknologi Seni Bina. – MalaysiaGazette – MalaysiaGazette
















