MELAKA – Sebuah politeknik baharu di Lumut, Perak yang mengkhususkan bidang kecerdasan buatan (AI) dijangka memulakan operasinya selewat-lewatnya pada 2027 bagi menampung keperluan teknologi semasa Industri 4.0.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail berkata, cadangan menubuhkan Polikteknik Lumut itu akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) sekali gus menjadikan ia politeknik AI pertama di Malaysia.

Menurutnya, transformasi digital dalam sektor perindustrian hari ini menyaksikan AI dapat mengoptimumkan segala usaha mengumpul data secara kolektif untuk kemajuan dan pembangunan negara.
“Sekarang ini kalau ikut data pasaran kita lebih tertumpu kepakaran dalam bidang AI ataupun pelajar-pelajar daripada aliran mekanikal, elektrik dan elektronik, mekatronik dan sains komputer untuk diketengahkan.
“Sebaik sahaja politeknik diluluskan, kita akan merangka pembangunan program, kurikulum, mencari pensyarah dan sebagainya untuk pengajian peringkat sijil atau diploma.
“Saya jangkakan dalam tempoh satu hingga dua tahun politeknik akan dapat beroperasi sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik/ Kolej Komuniti (PolyCC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Konvokesyen hari pertama itu menyaksikan 569 graduan sijil dan diploma daripada enam buah Kolej Komuniti di Melaka menerima sijil dan diploma masing-masing terbahagi kepada dua sesi pagi dan petang.
Mengulas lanjut Mohd Zahari berkata, ketika ini, pihaknya menawarkan kira-kira 10 kurus yang berkaitan AI antarnya seperti Diploma Teknologi Maklumat Pengaturcaraan, Diploma Teknologi Maklumat Rangkaian, Diploma Kejuruteraan Perisian, Diploma Sains Computer dan Diploma Data Sains.
“Kesemua kursus yang seumpama ini memfokuskan kepada bidang AI dan elemen AI itu diperkenalkan kepada semua pelajar, mungkin kita akan memulakannya dengan basic kursus iaitu Introduction to the AI.
“Kemudian program atau kursus-kursus yang berkaitan dengan Machine Learning, Python to AI, Data Analysis, Intelligent Systems dan sebagainya yang mana ini adalah di peringkat awal kita untuk memperkenalkan dan memperkasakan bidang AI dalam negara,” tambahnya.
Konvokesyen hari pertama itu menyaksikan 569 graduan sijil dan diploma daripada enam buah Kolej Komuniti di Melaka menerima sijil dan diploma masing-masing pada dua sesi pagi dan petang.
Statistik terkini menunjukkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) mencecah 98.8 peratus hasil daripada kerjasama strategik dengan lebih 20,000 pihak industri. – MalaysiaGazette
















