Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit sedalam 15 kaki di hadapan sebuah hotel di Jalan Pintasan Penampang, Kota Kinabalu, awal pagi tadi. Ihsan Foto : Tular

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu terjatuh ke dalam parit sedalam kira-kira lima meter di hadapan sebuah hotel di Jalan Pintasan Penampang, Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.50 pagi menerusi talian MERS999.

“Sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati seorang mangsa penunggang motosikal telah terjatuh ke dalam parit sedalam 15 kaki (kira-kira lima meter),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan pengusung khas jenis junkin stretcher sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.19 pagi selepas kawasan kejadian disahkan selamat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast