KUALA LUMPUR – Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua di Port Dickson memohon maaf atas insiden bendera negara yang dipasang secara terbalik di kawasan sekolah sempena sambutan Bulan Kebangsaan, baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pihak Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta pihak sekolah memaklumkan tindakan segera telah diambil sejurus kejadian itu dimaklumkan.
“Kami amat kesal atas kejadian tersebut dan dengan penuh rasa tanggungjawab, memohon maaf kepada masyarakat,” katanya.
Kejadian berlaku pada petang Jumaat, 1 Ogos lalu apabila seorang pekerja sekolah yang menjalankan tugas memasang bendera telah tersilap memasangnya secara terbalik.
Ia hanya disedari sekitar jam 5 petang sebelum tindakan pembetulan segera dilakukan.
Bagaimanapun, gambar bendera tersebut telah sempat tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi orang ramai.
Pihak sekolah menegaskan mereka sentiasa menitikberatkan penghormatan terhadap simbol negara dan komited dalam melaksanakan pendidikan patriotik.
“Sepanjang Bulan Kebangsaan ini, pelbagai aktiviti patriotik sedang dilaksanakan termasuk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Pertandingan Hiasan Kelas, Pertandingan Fotografi, Kuiz Hari Kebangsaan, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Reka Poster dan Perarakan Patriotik,” jelas kenyataan itu.
Pihak sekolah juga mengakui kecuaian tersebut tidak disengajakan namun telah menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan orang awam.
Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, sekolah tersebut akan memperkukuh prosedur pemantauan serta meningkatkan tahap kewaspadaan dan ketelitian dalam setiap pelaksanaan tugas.
“Dengan ini, pihak sekolah memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat dan berjanji untuk terus melaksanakan tanggungjawab pendidikan dengan lebih berintegriti demi maruah negara,” tambah kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















