SUNGAI PETANI – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) memaklumkan pelarasan kadar tarif air akan dilaksanakan bermula 1 Ogos 2025 menerusi kajian Mekanisme Penetapan Tarif (Tariff Setting Mechanism – TSM) bagi semua kategori pengguna di negeri ini.

Menurut SADA, caj baharu itu akan mula dibilkan kepada pengguna bermula bulan September 2025.

“Pelarasan kadar tarif merupakan keperluan penting bagi memastikan kelestarian bekalan air dalam jangka masa panjang serta penambahbaikan mutu perkhidmatan.

“Penyesuaian kadar ini mengambil kira kos operasi (OPEX) dan kos perbelanjaan modal (CAPEX) termasuk peningkatan kos elektrik, emolumen, caj air mentah dan bahan kimia,” katanya dalam kenyataan media yang dimuat naik di Facebook.

SADA turut memaklumkan sebahagian hasil pelarasan akan digunakan untuk membiayai pembaikan dan penyelenggaraan sistem sedia ada, menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) serta meluaskan liputan bekalan air.

“Antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan ialah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, LRA Kodiang Fasa 1, LRA Padang Saga Fasa 4 dan 5, LRA Sidam Kiri Fasa 1, LRA Sungai Karangan Fasa 1 dan loji kompak di Kulim Hi-Tech.

“Selain itu, kerja-kerja menaik taraf sistem agihan dan rumah pam turut dilaksanakan bagi menangani masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan.

“Pelarasan itu juga mengambil kira keperluan kewangan jangka panjang termasuk penyelesaian baki pinjaman berjumlah RM1.12 bilion kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang dijadual bermula April 2026,” katanya.

Tambah kenyataan itu, impak pelarasan terhadap pengguna adalah munasabah dengan contoh perbezaan kadar bagi penggunaan domestik di jalur kedua hanya melibatkan peningkatan RM0.18 per meter padu atau tidak melebihi RM4 sebulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast